Wadah PELANCAR Edisi Januari 2019

KE ARAH PENGURUSAN CUKAI LEBIH EFISIEN Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah berlangsung pada November 2018 di Menara Hasil, Cyberjaya. Pemeteraian tersebut bertujuan bagi mempertingkat kerjasama antara kedua belah pihak dalam menangani perkara-perkara berkaitan percukaian.

Majlis menandatangani memorandum tersebut diwakili Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Dato’ Sri Sabin Samitah sambil disaksikan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM, Datuk Mohd Nizom Sairi. Menerusinya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa butir-butir lanjut dan pengkhususan mengenai pelaksanaan program-program berkaitan pengurusan cukai akan dilaksanakan mengikut perbincangan dan persetujuan secara bersama. Antara bidang kerjasama yang bakal dijalankan adalah seperti penganjuran seminar, bengkel dan program kesedaran untuk kepentingan bersama bagi meningkatkan kesedaran pengurusan cukai dalam kalangan koperasi. Selain itu, kerjasama tersebut juga dapat membuka ruang ke arah membangun dan menyediakan kapasiti modal insan bagi membantu koperasi menguruskan cukai koperasi secara lebih efisien. Pendekatan tersebut sekaligus dapat membantu dalam meningkatkan manfaat koperasi melalui pengecualian cukai bagi kesan yang lebih menyeluruh.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDNM, Dato’ Mohd Idris Mamat; Naib-Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya; Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Risiko, Tadbir Urus & Integriti ANGKASA, Encik Mohd Ismail Ibrahim dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Haji Borhan Mat Aris.

58 PELANCAR Januari 2019

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease